KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi penjelasan lebih jelas mengenai kelangsungan jangka panjang skim perlindungan kesihatan mySalam terutamanya yang melibatkan kedudukan dana dan perancangan masa depan skim itu bagi memastikan manfaat kepada golongan B40 tidak terjejas.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, penjelasan Kementerian Kewangan mengenai manfaat hospitalisasi, perlindungan 50 penyakit kritikal dan tuntutan peranti perubatan menunjukkan usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah namun masih terdapat beberapa persoalan yang belum dijawab secara tuntas.
Katanya, dana permulaan RM2 bilion yang disumbangkan Great Eastern Holdings pada 2019 kini semakin menyusut, tetapi tiada kepastian sama ada dana itu akan ditambah atau diperbaharui.
“Apakah perancangan pembiayaan jangka panjang menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan skim beroperasi secara mampan.
“Ketidakpastian mengenai kedudukan dana mySalam amat membimbangkan kerana tanpa pelan pembiayaan yang jelas, skim ini berisiko terganggu apabila dana sedia ada habis digunakan,” katanya dalam kenyataan.
Mordi berkata, lanjutan pelaksanaan mySalam hingga 2026 melalui belanjawan terkini menunjukkan kerajaan komited mengekalkan skim itu, namun pelan jangka panjang yang menyeluruh masih belum dibentangkan secara konkrit.
Beliau berkata, penerima B40 wajar mendapat jaminan perlindungan kesihatan mereka tidak bergantung kepada keputusan tahunan semata-mata.
Oleh itu, kerajaan digesa memperincikan bagaimana mySalam akan disepadukan dengan PeKa B40 dan Skim Perubatan Madani bagi mengelakkan pertindihan manfaat serta memastikan tuntutan berjalan lebih teratur dan efisien.
Menurutnya, integrasi yang lemah boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan penerima dan menjejaskan keberkesanan keseluruhan bantuan kesihatan.
“Penyelarasan antara ketiga-tiga program itu penting kerana ia melibatkan penerima yang sama dan bertujuan memberikan akses rawatan yang menyeluruh tanpa halangan pentadbiran.
“Penyatuan dasar perlu dilakukan secara teliti agar bantuan disalurkan tanpa kelewatan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik langkah kerajaan berkongsi data mySalam dengan syarikat takaful dan insurans bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam memperluaskan perlindungan kesihatan kepada B40.
Namun, katanya, kejayaan inisiatif itu memerlukan perancangan strategik, mekanisme insentif yang berkesan dan pemantauan ketat.
Jelasnya, penyertaan sektor swasta hanya akan memberi manfaat sekiranya ia dilaksanakan berdasarkan rangka kerja yang kukuh dan tidak membebankan penerima sedia ada.
Tambahnya, tanpa garis panduan yang jelas, penyertaan itu mungkin tidak memberi hasil seperti yang diharapkan.
Oleh itu, kerajaan perlu berani memperincikan strategi jangka panjang, termasuk hala tuju pembiayaan dan model operasi baharu, untuk memastikan skim itu terus memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
“Kepastian dasar amat penting bagi mengelakkan risiko skim tergantung atau terhenti secara tiba-tiba. Golongan B40 memerlukan jaminan bahawa perlindungan kesihatan di bawah mySalam bukan langkah sementara, tetapi satu komitmen jangka panjang yang stabil dan benar-benar memberi manfaat,” tegasnya. -MalaysiaGazette















