Nasib empat penumpang sebuah kenderaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan diuji apabila kereta Toyota Vios mereka ditenggelami banjir selepas tersangkut dalam longkang di Raub, awal pagi tadi.

RAUB – Banjir buruk di sini menyebabkan pengguna jalan raya menaiki kenderaan menghadapi detik mendebarkan apabila sebuah kereta Toyota Vios tersangkut dalam longkang dan tenggelam ketika mengharung banjir.

Bagaimanapun empat mangsa dalam insiden 5 pagi tadi ketika kereta tersangkut dalam longkang di Kampung Tersan dekat laluan Raub ke Lipis di sini  bernasib baik kerana berjaya diselamatkan.

Ia susulan tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub membantu mereka yang terperangkap ketika secara kebetulan pasukan itu melalui jalan berkenaan untuk ke lokasi pokok tumbang di Ulu Atok.

”Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kelantan untuk pulang ke Kuala Lumpur sebelum terperangkap akibat banjir di kawasan berkenaan.

”Salah seorang mangsa merupakan seorang warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU). Mangsa wanita OKU kemudiannya dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, laluan berkenaan (Jalan Bentong-Gua Musang) sebelum Kampung Tersan (menghala ke Kuala Lipis) dan selepas Kampung Tersan (menghala ke Raub) ditutup kepada kenderaan ringan.

Jurucakap APM Raub memaklumkan laluan sepanjang 100 meter itu ditenggelami air 0.70 meter akibat limpahan air sungai berdekatan.

Susulan itu, para pengguna laluan terbabit boleh menggunakan jalan alternatif melalui Jalan Ulu Renggol-Jalan Ulu Temalir-Jalan Ulu Atok-Kuala Atok.

Para pengguna jalan raya boleh melalui Jalan Cheroh-Batu Malim-Sungai Koyan, Jalan Berchang – Sungai Koyan-Jalan Bentong-Gua Musang dan Jalan Ulu Dong-Jalan Tualang Padang.

Untuk rekod sehingga jam 5 petang, sebanyak 12 pusat pemindahan banjir (PPS) dibuka di Daerah Raub menempatkan 267 mangsa daripada 87 keluarga.

Di Pahang, secara keseluruhan sebanyak 38 PPS beroperasi menempatkan 1,114 mangsa banjir di daerah Maran, Kuantan, Lipis dan Raub. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast