KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) kali ini menyaksikan satu perkembangan dramatik dalam landskap politik negeri itu apabila DAP hampir pasti kehilangan semua kerusi yang pernah dimenangi.
Setakat artikel ini ditulis, kiraan awal menunjukkan hampir keseluruhan kubu parti itu kini beralih tangan kepada Warisan.
Jika keputusan tidak rasmi itu disahkan, ia bakal menandakan kali pertama sejak 2004, DAP tidak mempunyai satu pun wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Enam kerusi yang dimenangi DAP pada 2020 iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong semuanya dilaporkan jatuh ke tangan Warisan.
Kekalahan itu turut melibatkan dua tokoh utama parti berkenaan iaitu Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe yang tewas di Likas kepada Tham Yun Fook serta timbalannya, Chan Foong Hin yang gagal merampas Tanjung Aru daripada Naib Presiden Warisan, Junz Wong.
Di Sandakan, penyandang DUN Elopura, Vivian Wong turut kecundang kepada calon Warisan, Calvin Chong.
Di DUN Sri Tanjong pula, Justin Wong dijangka kembali ke DUN, tetapi kali ini sebagai calon Warisan bukan lagi DAP selepas keluar parti pada penggal lalu.
Kubur-kubur tradisi DAP sejak 2013 seperti Kapayan dan Luyang juga dilaporkan tumbang.
Jannie Lasimbang tewas di DUN Kapayan kepada Chin Tek Ming manakala muka baharu DAP di Luyang, Chan Loong Wei, ditewaskan oleh Samuel Wong.
Pertaruhan DAP meletakkan calon baharu di DUN Tanjong Papat juga berakhir dengan keputusan tidak memihak kepada parti itu apabila Tang Szu Ching tewas kepada Alex Thien dari Warisan.
Di beberapa kawasan lain, faktor perpecahan undi turut dilihat menjejaskan prestasi parti.
Bekas Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang berpotensi memecahkan undi tradisi DAP di kawasan tertentu.
Sementara itu, di DUN Kemabong kawasan yang pernah ditandingi DAP pada 2020, bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual tewas kepada Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN), Rubin Balang.
PRN kali ini bukan sahaja mengubah peta politik DAP di Sabah malah membuka lembaran baharu yang menyaksikan dominasi Warisan semakin kukuh di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar yang sebelum ini sinonim dengan sokongan kepada DAP.-MalaysiaGazette















