KUALA LUMPUR – Casa Kids Book, sebuah penerbitan di bawah Big M Resources, memperkenalkan barisan buku bergambar kanak-kanak bertemakan kelestarian alam dan kesedaran sosial.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Penerbitan Buku Bergambar Kanak-Kanak 2025, yang ditaja oleh Yayasan Bursa Malaysia, dengan matlamat untuk memupuk nilai prihatin terhadap masyarakat dan alam sekitar sejak usia muda.
Projek yang diterajui penulis dan ilustrator buku bergambar kanak-kanak yang berpengalaman, Mimi Saleh sebagai Pengarah Projek, turut mendapat sokongan kerjasama daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB)
Sebahagian hasil jualan buku-buku Casa Kids Book akan disalurkan untuk pembelian alat bantu dengar, sekali gus memberi impak sosial yang nyata kepada komuniti.
Selaras dengan agenda kelestarian, perlaksanaan projek itu turut menitikberatkan amalan mesra alam yang mana hampir 90 peratus sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara maya menggunakan aplikasi Zoom, manakala rakaman di simpan di atas talian.
Bahan pembelajaran juga diberi dalam bentuk digital. Di samping mengurangkan jejak karbon, pendekatan ini juga dapat memastikan penyertaan inklusif dari serata dunia.
Sejak dilancarkan pada Mei 2025, projek ini telah menarik penyertaan 300 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk kelompok terpinggir dan Orang Kurang Upaya (OKU). Program ini bersifat inkubator, dengan pelbagai bengkel dan sesi perkongsian bersama pakar sepanjang tempoh perlaksanaan.
Sepanjang Julai 2025, enam sesi telah dijalankan termasuk bengkel penulisan, bengkel ilustrasi, serta perkongsian ilmu daripada pakar dalam bidang kesedaran sosial dan alam sekitar.
Daripada 109 manuskrip yang diterima pada peringkat awal, 39 penulis dan ilustrator telah terpilih untuk mengikuti BookCamp yang diadakan pada bulan Ogos. Dalam program ini, peserta menerima bimbingan mentor, yang juga merupakan editor dalam bidang buku bergambar, bagi memurnikan manuskrip masing-masing.
Hasil saringan kedua, 18 buku bergambar kanak-kanak telah dipilih untuk diterbitkan di bawah Casa Kids Book.
Selain itu, terdapat juga tiga judul istimewa yang turut dihasilkan khas untuk Bursa Malaysia, dengan memfokuskan kepada topik kelestarian, pelaburan, serta peranan dan fungsi Bursa Malaysia dalam membentuk masyarakat, khususnya kanak-kanak, yang celik kewangan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Projek itu bukan sekadar penerbitan buku, tetapi satu usaha menyeluruh membina kesedaran dan empati dalam kalangan generasi muda terhadap dunia sekeliling mereka.
Ini seiring dengan misi Bursa Malaysia dan Big M Resources dalam menyokong pembangunan sosial dan kelestarian negara. -MalaysiaGazette















