Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu penggal kedua awal pagi ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan Kerajaan Negeri susulan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-17) awal pagi ini.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan menghormati mesej jelas yang disampaikan pengundi Sabah yang mahukan perubahan selepas berdepan ketidakadilan dan pengabaian sejak sekian lama.

“Kerajaan Madani menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas para pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti, sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan telah berusaha menyelesaikan isu-isu yang diwarisi, termasuk tuntutan berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan nyata telah dicapai berkaitan MA63,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Madani akan terus komited melaksanakan pembaharuan demi memastikan Sabah mendapat layanan yang adil dan saksama.

“Usaha ini adalah bagi melahirkan sebuah Sabah yang adil, makmur dan tidak lagi dipinggirkan. Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast