KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah jelas membuktikan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin merosot secara serius.
Lebih membimbangkan, Pengerusi Perhubungan BN/UMNO Sabah sendiri hanya menang dengan majoriti 153 undi — satu isyarat yang amat kuat UMNO sedang kehilangan kepercayaan rakyat di negeri itu.
“UMNO Sabah kini berada pada tahap paling rapuh. Jika tidak ada tindakan drastik dan perubahan menyeluruh maka UMNO harus berani menerima hakikat adakah UMNO Sabah masih relevan, atau lebih baik dibubarkan sahaja sebagaimana UMNO tiada di Sarawak?” soal penganalisi politik, Syed Rosli Jamalullai.
Menurut beliau, kekalahan di PRN Sabah bukan tanggungjawab ahli di akar umbi.
“Jangan sesekali menuding jari kepada ahli biasa terutama Wanita UMNO yang selama ini bekerja tanpa mengharapkan jawatan atau habuan. Mereka setia, mereka bekerja keras, dan mereka tidak pernah meninggalkan parti.
“Yang gagal ialah pimpinan negeri dan nasional yang tidak peka terhadap realiti rakyat. Yang gagal ialah mereka yang lupa suara perjuangan sebenar UMNO.
“Yang gagal ialah mereka yang memilih selesa daripada bekerja,” tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan dalam kenyataan.
Justeru, Syed Rosli mahu pucuk pimpnan BNdan UMNO mengambil sepenuhnya tanggungjawab kekalahan PRN Sabah.
Mereka, katanya, perlu melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam UMNO Sabah.
“Dengarlah suara ahli bawahan yang selama ini bersusah payah mempertahankan parti. Kembalikan maruah, kekuatan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO sebelum terlambat,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat Sabah sudah memberi isyarat.Akar umbi UMNO sudah bersuara dan kini terserah kepada pimpinan utuk bangkit melakukan perubahan atau biarkan UMNO terus karam. – MalaysiaGazette















