Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan semua penduduk Taman United di sini yang terjejas akibat insiden tanah runtuh baru-baru ini akan dibantu mendapatkan kediaman sementara.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersiap sedia menyediakan unit transit mengikut keperluan semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menurut beliau, proses mengenal pasti jumlah keluarga yang benar-benar memerlukan penempatan alternatif sedang dilakukan memandangkan sebahagian mangsa kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala sebahagian lagi menumpang di rumah saudara mara.

“Kita akan menilai berapa ramai penduduk yang perlukan rumah transit dan berapa banyak unit yang boleh ditawarkan. Namun penempatan itu akan mengikut kapasiti sedia ada, jadi tidak semestinya semua keluarga dapat ditempatkan di lokasi yang sama,” katanya selepas melawat lokasi berkenaan di sini hari ini.

Dr Zaliha turut memaklumkan kerja-kerja teknikal di kawasan cerun Blok B dan C sudah dimulakan oleh juruperunding yang dilantik termasuk kajian kestabilan tanah bagi menentukan bentuk pembaikan yang sesuai untuk kawasan tersebut.

Menurutnya, langkah mitigasi awal juga sedang berjalan, antaranya pemasangan benteng sementara menggunakan beg pasir bagi menghalang kemasukan air ke unit tingkat bawah.

Di samping itu, pembersihan weep hole pada tembok penahan cerun serta longkang di sekitar blok terjejas telah dilakukan bagi memastikan aliran air berjalan lancar dan mengurangkan risiko takungan.

“Kita mahu pastikan keselamatan penduduk menjadi keutamaan sementara proses pemulihan cerun dijalankan,” tambahnya.

Beberapa hari lepas media melaporkan, dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh di sini diarahkan dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun di kawasan berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast