ISKANDAR PUTERI – Jurulatih Kuching City FC, Aidil Shari Sahak mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan yang lebih baik apabila tewas 0-2 (aggregat 1-4) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Namun Aidil Sharin tetap berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya hingga berjaya memastikan kesebelasan kendaliannya itu mencipta sejarah layak beraksi hingga ke separuh akhir Piala FA musim ini.
“Kuching City (FC) adalah kelab baharu yang sentiasa berusaha memperbaiki prestasi dari musim ke musim dan kita perlu akui JDT adalah pasukan yang lebih baik berbanding kami, kelab baharu yang cuba menjadi lebih baik setiap tahun.
“Untuk sampai ke separuh akhir adalah detik besar bagi kelab ini dan di sinilah kami akan belajar untuk menjadi lebih baik kerana walaupun tewas, kesemua pemain telah menunjukkan kualiti dan memberikan saingan kepada JDT,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Beliau mengucapkan tahniah kepada JDT kerana mereka layak ke final dan pass masa sama berharap pada musim depan Kuching City FC boleh berada lebih hampir dengan prestasi JDT musim ini.
Sementara itu, Aidil Sharin tidak menafikan ketiadaan beberapa pemain utama yang mengalami cedera turut menjejaskan perancangan pasukan.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan aksi cemerlang penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli bagi menafikan beberapa peluang JDT menambah jaringan.
“Perlawanan kali ini memang tidak mudah kerana kami datang tanpa empat atau lima pemain penting dalam kesebelasan utama, kami datang dengan skuad terhad dan jumlah pemain import yang minima untuk bertanding memang mencabar.
“Kami juga tidak mempunyai pemain pertahanan tambahan dan sebab itu kesemua pemain diminta supaya jangan melakukan kecuaian,” katanya.
Walaupun begitu, Haziq membuktikan beliau merupakan pemain berkualiti dan perlukan lebih banyak perlawanan untuk kekal cemerlang.- MalaysiaGazette















