JDT menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz teruja dan bersemangat apabila skuad Harimau Selatan mara ke pentas final Piala FA musim ini selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 (Aggregat 4-1) malam tadi.

Namun di sebalik kejayaan itu, anak kelahiran Sepanyol tersebut mengakui rindu aksi pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi yang disifatkannya sebagai pemain terbaik di Asia ketika ini.

Munoz tanpa berselindung mengakui kehilangan pemain berusia 23 tahun itu memberikan impak besar kepada kekuatan pasukan walaupun skuad kendaliannya itu berjaya mencatatkan keputusan positif pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

“Ya. Kami merinduinya 100 peratus. Dia adalah pemain terbaik di Asia ketika ini. Apabila anda kehilangan pemain yang terbaik, normal untuk pasukan kehilangan ‘sesuatu.’

“Dia istimewa untuk semua. Dia adalah identiti pasukan. Biasanya apabila anda kehilangan pemain seperti ini, pasukan pasti kehilangan sesuatu yang istimewa,” ujarnya pada sidang akhbar setelah tamat perlawanan.

Arif Aiman sebelum ini direhatkan susulan kecederaan yang memaksanya diketepikan dari beberapa perlawanan penting JDT.

Tambah Munoz, Arif Aiman bukan sahaja tonggak utama skuad Harimau Selatan bahkan menjadi identiti JDT dalam setiap perlawanan.

Justeru katanya, fokus utama kini adalah bagi membantu pemain berkenaan pulih secepat mungkin, namun dalam masa sama tetap menghormati privasinya.

“Salah satu perkara yang kami perlu lakukan sekarang ialah membantu dia pulih secepat mungkin termasuk cuba memberikan privasi maksimum kepada pemain dan pasukan. Kami bekerja keras untuk pastikan dia pulih dengan baik.

“Perkara positifnya, diharapkan bila kembali nanti, dia akan kembali lebih kuat dan itu perkara paling penting buat kami,” jelasnya.

Sementara itu, Munoz enggan mengulas lanjut ketika diitanya mengenai tahap kecederaan dialami Arif Aiman kerana bimbang tersalah maklum disebabkan kurang fasih bahasa Inggeris.

“Saya tahu apa masalahnya, tetapi saya tidak mampu jelaskan dengan tepat dalam bahasa Inggeris.

“Lebih baik tanya doktor kelab kerana mungkin saya akan beritahu sesuatu yang tidak tepat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast