JOHOR BAHRU – Baitulmal Johor wajar melonggarkan syarat permohonan bantuan asnaf dengan mengurangkan biokrasi bagi mengelak salah guna kuasa dan menjurus kepada pihak yang berkepentingan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini kerana terdapat rungutan masyarakat berhubung amalan Baitulmal yang didakwa hanya mengiktiraf pengesahan ketua kampung dalam proses permohonan bantuan.
Jelasnya, ini termasuk bantuan baik pulih rumah bagi golongan asnaf dan prosedur tersebut menyukarkan permohonan termasuk mereka yang benar-benar layak.
“Pejuang Johor berpendirian bahawa pintu bantuan kepada asnaf tidak wajar disempitkan dengan prosedur yang terlalu rigid dan bergantung kepada satu individu sahaja.
“Ini kerana realitinya pelbagai pemimpin komuniti seperti imam, pengerusi kariah masjid dan ketua-ketua kawasan turut mengetahui keadaan sebenar penerima yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, terdapat aduan menunjukkan bahawa sebahagian pemohon menghadapi kesukaran kerana ketua kampung sukar ditemui, tidak aktif atau lambat memberikan pengesahan.
Malah katanya, wujud kawasan perumahan moden yang tidak lagi bergantung kepada struktur ketua kampung tradisional dan amalan itu ternyata tidak lagi praktikal untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Pejuang Johor menuntut penjelasan segera daripada pihak Baitulmal mengenai rasional amalan tersebut dan adakah ia benar-benar dasar rasmi atau sekadar tafsiran di peringkat pelaksanaan.
“Jika tidak mempunyai asas kukuh, Pejuang Johor mendesak agar prosedur ini dihentikan serta-merta kerana ia menimbulkan persepsi berat sebelah dan berpotensi membuka ruang kepada salah guna kuasa,” katanya.
Pejuang Johor juga menyeru agar proses pengesahan diperluas kepada lebih ramai pihak berautoriti termasuk imam kariah atau pegawai masjid, selain penilaian terus oleh pegawai Baitulmal sendiri bagi mengelakkan bantuan tertangguh tanpa sebab yang munasabah.
“Pejuang Johor ingin menegaskan bahawa bantuan Baitulmal ialah amanah umat Islam dan bukan alat politik mana-mana pihak. Keutamaan yang harus dijaga ialah kebajikan asnaf, bukan kepentingan kelompok tertentu,” tegasnya.
Pihaknya akan terus bersuara dan memantau isu berkenaan agar setiap asnaf menerima bantuan dengan cepat, telus dan adil tanpa halangan birokrasi yang tidak perlu.
“Kami komited menjadi suara rakyat dan memastikan setiap agensi amanah menjalankan peranan dengan integriti sepenuhnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette















