BUKIT MERTAJAM – Seorang bekas atlet Sukan Olimpik Khas Antarabangsa memerlukan RM120,000 bagi menampung rawatan perubatan serta penjagaan jangka panjang di pusat pemulihan akibat terlibat dalam kemalangan.
Thong Kong Weng, 46, kini terlantar di hospital selepas terlibat dalam kemalangan pada 14 September lalu ketika memandu kereta membawa dua adik kembarnya untuk bercuti.
Kemalangan di lebuh raya berhampiran Taiping, Perak itu menyebabkan beliau cedera parah termasuk bocor paru-paru, usus serta patah beberapa tulang.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Kong Weng merupakan antara atlet istimewa yang pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam acara bocce pada Sukan Olimpik Khas Antarabangsa 2003.
“Dulu beliau membanggakan rakyat Malaysia namun, hari ini akibat kemalangan, hidupnya bergantung pada bantuan mesin dan rawatan hospital. Beliau adalah wira negara yang tidak patut kita lupakan.
“Kong Weng telah menjalani enam pembedahan termasuk pembentukan stoma dan trakeostomi, dan masih dirawat di Hospital Taiping di bawah pemantauan ketat.
“Disebabkan tidak mampu bergerak, luka tekanan turut mula muncul, selain stoma dan trakeostomi memerlukan penjagaan rapi setiap hari,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Sui Hau, selepas keluar hospital, Kong Weng memerlukan rawatan pemulihan berterusan dan penjagaan penuh sepanjang masa.
“Keluarganya tidak mampu menyediakan penjagaan intensif itu, menyebabkan beliau perlu ditempatkan di pusat penjagaan.
“Selepas penilaian menyeluruh, kita melancarkan kutipan RM120,000 bagi kos rawatan, penjagaan dan pusat pemulihan mangsa.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Public Bank (3193433435) atau melalui talian bantuan 016-4192 192, 019-2322 192 atau 04-539 9212,” katanya. – MalaysiaGazette















