KUALA LUMPUR – Majlis Belia Sabah (MBS) menyifatkan keputusan melibatkan parti luar ke dalam struktur Kerajaan Negeri menimbulkan luka dan kekecewaan mendalam dalam kalangan belia negeri itu yang selama ini berjuang habis-habisan demi mempertahankan maruah politik Sabah.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, anak-anak muda Sabah telah berkorban jiwa dan raga dalam menggerakkan kempen, mencurah tenaga dan menyuarakan suara perubahan sepanjang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah lalu.
Menurutnya, semua itu dilakukan dengan satu harapan jelas iaitu masa depan Sabah mesti ditentukan oleh anak Sabah sendiri, bukan bergantung kepada percaturan parti luar atau kepentingan politik dari Semenanjung.
“Namun, apa yang berlaku hari ini seolah-olah menidakkan segala pengorbanan tersebut.
“Kami merasa dianaktirikan, dipandang enteng dan tidak dihargai, seakan usaha menegakkan maruah negeri ini diperlakukan sebagai permainan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Tegas Abqaree Fawwaz, anak muda mahu melihat kepimpinan yang berani, bermaruah dan bebas daripada pengaruh luar.
Selain itu, katanya, anak muda Sabah juga mahu melihat negeri itu berdiri atas kaki sendiri, bukan bersandar kepada kuasa yang pernah memperlahankan kemajuan dan menyekat cita-cita penduduknya selama puluhan tahun.
Tegasnya, maruah Sabah tidak boleh dijual beli, manakala suara belia Sabah tidak boleh digunakan sebagai alat yang kemudiannya diketepikan.
Malah, ujar beliau, Sabah berhak kepada kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan masa depan rakyatnya.
“Hari ini, kami berdiri bukan untuk membenci sesiapa, tetapi untuk mempertahankan maruah negeri.
“Kami menolak sebarang keputusan politik yang melemahkan autonomi Sabah dan mengkhianati aspirasi anak muda yang ingin melihat perubahan sebenar.
“Kita tidak menolak kerjasama atau memutuskan silaturahim, tetapi, kerjasama itu, perlu menghormati maruah anak muda Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, belia Sabah akan terus bangkit; bersuara dan mempertahankan hak golongan itu untuk masa depan yang lebih bermaruah.
Semalam, pembentukan Kabinet baharu kerajaan negeri Sabah turut menyaksikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut mengangkat sumpah jawatan.
Mereka ialah ADUN BN Sukau, Datuk Jafry Ariffin yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta ADUN PH Melalap, Datuk Jamawi Jaafar (Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan). – MalaysiaGazette
















