Sumber: DOSM

KUALA LUMPUR – Statistik populasi Bumiputera pada 2025 meningkat sebanyak 0.9 peratus, mencapai 21.8 juta atau 63.6 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Populasi lelaki melebihi populasi wanita, iaitu 11.0 juta lelaki berbanding 10.8 juta wanita, dengan nisbah jantina sebanyak 102 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Pada 2024, tenaga buruh bumiputera meningkat sebanyak 1.4 peratus untuk mencapai 9.9 juta, merangkumi 6.0 juta lelaki dan 3.9 juta wanita.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) merekodkan 67.4 peratus, dengan KPTB lelaki kekal tinggi pada 80.8 peratus, manakala KPTB wanita meningkat kepada 53.8 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini menunjukkan penyertaan berterusan dalam pasaran pekerjaan,
dengan lebih ramai bumiputera memasuki pelbagai sektor ekonomi serta menyumbang kepada produktiviti dan pembangunan ekonomi negara secara
keseluruhan.

Sementara itu, kadar pengangguran terus menurun kepada 3.4 peratus, dengan 3.3 peratus bagi lelaki dan 3.5 peratus bagi wanita.

Dalam kalangan bumiputera yang bekerja, 57.1 peratus mempunyai pendidikan peringkat menengah atau setaraf, manakala 37.1 peratus memiliki kelayakan pendidikan tinggi.

Jabatan Perangkaan berkata, pada 2024, etnik bumiputera mencatatkan 324,700 kelahiran hidup berbanding 363,102 kelahiran hidup pada tahun sebelumnya.

Namun, kadar kesuburan jumlah menurun kepada 1.6 orang anak bagi setiap wanita berumur 15–49 tahun berbanding 2.1 orang anak pada 2023.

Sementara itu, jangkaan hayat ketika lahir bagi lelaki dan wanita pada 2025 masing-masing dianggarkan sehingga 72.1 tahun dan 77.0 tahun.

Peningkatan ini menunjukkan trend positif dalam jangkaan hayat dan kualiti hidup bagi kedua-dua jantina.

Mengulas lanjut mengenai statistik siswazah, pada 2024, bilangan siswazah bumiputera direkodkan sebanyak 3.7 juta, terdiri daripada 1.6 juta lelaki dan 2.1 juta wanita.

KPTB siswazah adalah 86.0 peratus, dengan lelaki pada 89.5 peratus dan wanita pada 83.3 peratus.

Kadar pengangguran siswazah pula menurun kepada 3.4 peratus, dengan 3.2 peratus bagi lelaki dan 3.6 peratus bagi wanita, mencerminkan peningkatan peluang pekerjaan dalam pasaran buruh.

Bagi bilangan profesional bumiputera terpilih yang berdaftar dengan badan professional sehingga 2025, terdapat 12,794 akauntan berdaftar, 9,480 peguam, 9,538 ahli farmasi, 3,392 juruukur bahan, 1,089 jurutera, 1,030 arkitek dan 365 juruukur tanah berlesen.

Dari segi pertumbuhan tahunan, bilangan jurutera bumiputera berdaftar mencatat peningkatan dua digit sebanyak 13.9 peratus.

Sementara itu, sumbangan profesional bumiputera kepada jumlah keseluruhan profesional berdaftar bagi setiap bidang pada 2025 adalah 32.0 peratus bagi akauntan, 40.5 peratus bagi peguam, 43.5 peratus bagi ahli farmasi, 66.3 peratus bagi juruukur bahan, 75.1 peratus bagi jurutera, 40.9 peratus bagi arkitek dan 62.7 peratus bagi juruukur tanah berlesen.

Dalam pada itu, bumiputera menyumbang 49.7 peratus daripada jumlah transaksi hartanah kediaman, bernilai RM37.7 bilion daripada keseluruhan RM103.9 billion pada tahun lalu dengan transaksi bumiputera dalam segmen hartanah komersial meningkat daripada RM2.3 bilion pada 2023 kepada
RM2.8 bilion pada 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast