JAINJ menahan satu pasangan di Kulai selepas didapati melakukan zina hingga hamil empat bulan.

KULAI – Tindakan mencurigakan satu pasangan bersama-sama keluarga hadir ke Pejabat Kadi Daerah Kulai untuk segera menikah membongkar rahsia wanitanya sudah hamil empat bulan.

Kehadiran pasangan tersebut yang masing-masing masih belum berkahwin mendedahkan dalam siasatan bahawa mereka sudah beberapa kali melakukan zina sehingga September lalu.

Berikutan status wanita berkenaan, kes tersebut kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menurut JAINJ, lelaki  bujang berkenaan berusia 20-an dan wanita pula berusia 30-an dan kedua-duanya masih belum bernikah.

“Wanita berusia lapan tahun lebih tua daripada lelaki dan lelaki itu baharu bekerja. Keluarga wanita dan lelaki itu turut hadir mengiringi pasangan ini.

“Pasangan ini ingin bernikah segera kerana ada kisah sudah mengandung dahulu. Pasangan ini dirujuk ke Bahagian Penguat Kuasa JAINJ untuk tindakan lanjut,” menurut JAINJ dalam kenyataan hari ini.

JAINJ memberitahu, bahagian penguatkuasanya kemudian menghantar wanita terbabit ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan hamil antara tiga hingga empat bulan.

“Wanita ini mengaku perbuatan terlarang itu sudah berlaku beberapa kali namun kali terakhir adalah pada September lalu di sebuah hotel di daerah ini dengan menyewa bilik hotel selama sejam.

“Mereka mengaku takut sekiranya tertangkap, sebab itu mereka tidak pernah tidur bersama-sama di hotel dan hanya menyewa mengikut jam sahaja,” jelas JAINJ.

Jelas JAINJ, perbuatan itu terbongkar selepas ibu wanita berkenaan menyedari perubahan pada anaknya itu sebelum anaknya mengaku sudah melakukan zina secara suka sama suka.

Pada peringkat awal, mereka belum terfikir hendak bernikah kerana lelaki terbabit baharu bekerja.

“Mereka simpan rahsia kerana lelaki itu tinggal tidak berapa jauh dari rumah wanita dan keluarga mereka saling mengenali. Keadaan pada mulanya tegang antara keluarga kedua-dua mereka namun penyelesaian dicapai untuk menutup malu keluarga.

“Kerelaan lelaki bersetuju bernikah lebih baik daripada dia melarikan diri atau meninggalkan wanita itu begitu sahaja,” tambah kenyataan tersebut.

Pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 23 Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berzina.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau semua hukuman berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast