JIM menahan warga asing dalam operasi di premis perniagaan dan kediaman sekitar Batu Pahat, kelmarin.

BATU PAHAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 42 warga asing selepas menggempur premis perniagaan dan kediaman sekitar daerah ini kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Cawangan Batu Pahat melakukan operasi tersebut pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, Ops Selera, Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu itu dilakukan secara serentak selepas pihaknya menerima maklumat awam serta risikan.

“Operasi ini berjaya menahan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di premis perniagaan dan premis kediaman yang dikenal pasti ada majikan yang menggaji atau melindungi PATI.

“Seramai 42 warga asing terdiri daripada sembilan lelaki dewasa warganegara Nepal, lapan lelaki dewasa Bangladesh, 19 lelaki dewasa Myanmar, lima lelaki dewasa Indonesia dan seorang lelaki dewasa Pakistan ditahan.

“Mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 58 tahun. Secara keseluruhan dalam operasi ini pemeriksaan dilakukan ke atas 162 individu,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Katanya, semua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu ujarnya, sebanyak tiga keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal di Malaysia dan bekerja di negara ini,” tambahnya.

Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atua permit kerja yang sah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast