JOHOR BAHRU – Polis mengenal pasti 874 hotspot banjir di 10 buah daerah di negeri ini sebagai persediaan berdepan banjir.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 1,280 anggota dan pegawai polis di Johor kini bersiap sedia ketika ini bagi memantau dan bertindak apabila berlaku banjir nanti.
“Kawasan hotspot terbabit memerlukan penugasan ketat dan penempatan kekuatan secara strategik, terutamanya di lokasi yang sering terjejas setiap kali Monsun Timur Laut melanda.
“Kesemua anggota kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
“Fokus kita adalah memastikan keselamatan rakyat di kawasan hotspot yang telah dikenal pasti,” katanya dalam sidang selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Disember 2025 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Berdasarkan rekod, antara daerah yang mencatatkan jumlah lokasi banjir tertinggi adalah Batu Pahat sebanyak 278 lokasi diikuti Segamat (118), Muar (99), Kota Tinggi (77) dan Pontian (70).
Daerah lain termasuk Tangkak (68), Kluang (57), Johor Bahru (51), Mersing (32) dan Kulai (24).
Ab Rahaman berkata, pihaknya turut mengaktifkan pelbagai aset termasuk 112 kereta peronda, 92 pacuan empat roda, 46 bot, 36 enjin bot, 451 jaket keselamatan, tiga jet ski serta dua kenderaan amfibia.
Jelasnya, ini termasuk sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Subang yang bersedia untuk digerakkan ke Johor jika diperlukan.
Selain itu, katanya, operasi turut disokong agensi keselamatan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan serta
Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang turut menggerakkan aset masing-masing.
Setakat ini, jelasnya, tiada pembekuan cuti, namun hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti pada satu-satu masa sebagai langkah memastikan kekuatan mencukupi di lapangan.
“Kepada penduduk di kawasan rendah dan hotspot dinasihatkan agar lebih peka dan bersedia untuk berpindah serta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa.
“Ini kerana eselamatan diri dan keluarga adalah keutamaan. Ikut arahan PDRM dan agensi penyelamat supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette
















