Seramai 24 warga asing ditahan dalam Ops Selera di kawasan Bukit Indah, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.

Ia kesalahan yang dilakukan 24 warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Selera di kawasan Bukit Indah di sini semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut yang bermula pada pukul 12 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada premis komersial khususnya sektor makanan dan perkhidmatan yang dikenal pasti melalui hasil risikan dan pemantauan berterusan.

“Melalui operasi ini, pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas individu serta premis bagi menilai status dokumentasi perjalanan, permit kerja dan pematuhan syarat pas yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas 40 individu, seramai 24 warga asing terdiri daripada 12 lelaki dewasa warganegara Myanmar, dua lelaki dewasa Indonesia, lima wanita dewasa Indonesia, empat wanita dewasa Myanmar dan seorang wanita dewasa Vietnam ditahan.

Jelasnya, mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut yang berumur dalam lingkungan 18 sehingga 45 tahun.

Beliau memberitahu, seorang pembantu pengurus premis warga tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.

Tambahnya, sebanyak tiga keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

Kesemua yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, katanya.

Mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi itu mencerminkan komitmen JIM Johor dalam memastikan setiap warga asing di negeri ini beroperasi mengikut undang-undang di samping menyokong ekosistem perniagaan yang teratur dan selamat.

“JIM Johor akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berjadual serta kolaboratif dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara selaras dengan hasrat kerajaan Madani,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast