KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng tiba di Kompleks Mahkamah di sini sebentar tadi bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Kedua-duanya tiba di pekarangan mahkamah pukul 8.05 pagi menaiki kenderaan SPRM dan dikawal ketat oleh sekumpulan pegawai agensi itu.
Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen 14 bagi menghadapi pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Sementara itu di luar mahkamah, pasukan polis mula berkawal bagi memantau situasi penyokong-penyokong Shamsul Iskandar yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka yang dijangka berkumpul bagi memberi sokongan moral kepada bekas pegawai kanan Perdana Menteri.
Solidariti itu atas inisiatif PKR Cabang Hang Tuah Jaya yang disebarkan semalam melalui kumpulan WhatsApp menyeru orang ramai berkumpul pagi ini.
Jemputan itu yang turut diperoleh pihak media, dihantar oleh Timbalan Ketua Cabangnya, Zamzizul Nordin menerusi mesej WhatsApp, menyeru agar penyokong berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada Shamsul Iskandar.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media memaklumkan, Shamsul Iskandar dan Albert masing-masing akan menghadapi empat pertuduhan di sini manakala satu lagi pertuduhan akan dikemukakan di Shah Alam, esok.
Beliau berkata, siasatan kes berkenaan telah lengkap dalam tempoh tujuh hari seperti yang diarahkan selepas merekod keterangan 32 individu termasuk seorang wanita, Sofia Rini Buyong. – MalaysiaGazette
















