KLUANG – Seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Jabatan Penjara Kluang di Jalan Mersing di sini semalam berjaya ditahan semula dalam tempoh beberapa jam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai penjara berhubung kejadian tersebut pukul 4.25 petang.
“Susulan maklumat berkenaan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama-sama pihak Jabatan Penjara Kluang mengesan dan menjejaki suspek tersebut.
“Banduan tersebut yang berusia 26 tahun ditahan di kawasan berhampiran reban ayam Kampung Sri Timur di sini pukul 5.30 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 233 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bahrin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822; tablet DCC 014-3656822.
Semalam tular Foto memaparkan seorang banduan lelaki ditahan dalam kawasan reban ayam di Kampung Sri Timur, Kluang. – Foto media sosial. – MalaysiaGazette















