KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral Sabah.
Pengerusi Majis Pimpinan Negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka itu didakwa memperoleh suapan daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing sebagai dorongan melakukan perbuatan berkaitan hal ehwal prinsipalnya selaku setiausaha politik kanan Perdana Menteri.
Pertuduhan pertama, Shamsul Iskandar, 51, didakwa bersetuju terima untuk dirinya suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert sebagai dorongan membantu syarikat ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Pemimpin politik itu didakwa melakukan melakukan perbuatan tersebut pada 24 November 2023 di tempat letak kereta sebuah hotel di sini.
Pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan untuk dirinya iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik daripada Albert berjumlah RM14,580 atas tujuan sama di antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.
Pertuduhan ketiga, Shamsul Iskandar turut didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada ahli perniagaan itu bagi membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah pada 29 Januari 2024 di premis sama di Jalan Medang Serai.
Pertuduhan keempat, dia didakwa memperolehi suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 daripada Albert untuk tujuan serupa di antara 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024 di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Suzana Hussin membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan sebutan pada 8 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali hingga kes selesai manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Suzana turut memerintahkan agar Shamsul Iskandar tidak mengacau ganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon jaminan RM300,000 berdasarkan graviti kesalahan yang didakwa dilakukan serta tiga syarat tambahan terhadap Shamsul Iskandar.
Hujah beliau, Shamsul Iskandar pernah memegang jawatan penting yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, berpotensi untuk mengacau ganggu saksi-saksi pendakwaan ketika perbicaraan.
Pendakwaan menghujahkan, isu berkaitan `networking’ bukan satu andaian dengan melihat kepada kuasa yang dipegang Shamsul Iskandar ketika dalam perkhidmatan.
Farah Ezlin selanjutnya menyatakan, tertuduh berisiko melarikan diri ke luar negara.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar memohon jaminan tidak lebih RM50,000 atas alasan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Beliau berhujah, pendakwaan tidak seharusnya bersandarkan kepada penalti hukuman untuk menentukan jumlah jaminan.
“Jika begitu, tiada orang di Malaysia yang akan mampu bayar jaminan,” hujahnya.
Amer Hamzah turut berkata, anak guam mereka telah membuat laporan polis pada 26 November lalu ketika berada di Sabah bagi menafikan segala dakwaan rasuah yang ketika itu berlegar-legar di media sosial.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff yang mewakili Shamsul Iskandar turut berhujah agar mahkamah mengambil kira sikap, kelakuan dan pendirian tertuduh ketika isu berkaitan dirinya didedahkan.
“Mahkamah perlu mengambil kira tindakan Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan di pejabat Perdana Menteri yang menunjukkan pendirian dan tanggungjawabnya.
“Dakwaan bahawa anak guam mempunyai `networking’ tidak berasas kerana beliau sanggup meletak jawatan untuk membersihkan nama,” katanya.
Mohd. Yusmadi turut berhujah agar mahkamah mempertimbang peranan anak guamnya dalam masyarakat apabila dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Melaka serta dipilih sebagai Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Ujarnya, bapa tiga anak itu turut menghidap darah tinggi sejak 2003 dan kencing manis yang serius sejak 2018.
Menurut laporan media, Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri pada 25 November lalu.
Sebelum ini, pemimpin PKR itu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Albert memberi rasuah kepadanya bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan diagih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah. – MalaysiaGazette
















