JOHOR BAHRU – Lebih 100,000 penduduk Johor sudah mendaftar Sistem Subsidi Minyak Masak Elektronik (eCOSS) sejak dilaksanakan pada Ogos lalu.
Jumlah tersebut menjadikan negeri itu antara pengguna tertinggi platform digital berkenaan yang diperkenalkan bagi mengelak ketirisan pengagihan minyak masak bersubsidi 1 kilogram.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, jaringan pengagihan minyak masak bersubsidi turut diperluas daripada 15 kepada 55 lokasi.
Jelasnya , langkah tersebut adalah susulan aduan orang ramai sebelum ini sukar mendapatkan bekalan.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri telah memperkemas rantaian bekalan daripada pembungkus sehingga peruncit bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dapat diperoleh secara konsisten.
“Johor kini menerima hampir 1,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan melalui 55 titik pengedaran di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran aplikasi mobile ecoss di Mydin Mutiara Rini di sini hari ini.
Katanya, pengguna yang sudah mendaftar aplikasi eCOSS itu membolehkan mereka mengimbas kod QR peruncit sebelum membuat pembelian, bagi membantu pemantauan dan mengelak ketirisan subsidi kepada bukan kumpulan sasar.
Beliau berkata, KPDN dan rakan peruncit juga akan terus membantu warga emas yang menghadapi kesukaran mendaftar.
Jumlah bekalan di setiap lokasi ditentukan berdasarkan keperluan penduduk dan analisis permintaan, termasuk penilaian semula selepas tiga bulan sama ada perlu ditambah atau dikurangkan, katanya.
Sebanyak 55 lokasi pengedaran itu melibatkan pasar raya utama dan kedai runcit terpilih di Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, Kluang dan beberapa daerah lain.- MalaysiaGazette
















