KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) teruja Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 (Akta 652), sekaligus membuka laluan kepada pengenalan tiga sijil pakar nasional baharu bagi memperkukuh ekosistem TVET negara.
RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang menegaskan bahawa pindaan menyeluruh ini penting untuk memastikan pembangunan kepakaran tenaga mahir tempatan kekal kompetitif dan relevan dalam ekonomi yang dipacu teknologi, automasi serta keperluan industri masa hadapan.
Dalam kenyataan, Kesuma menjelaskan akta berusia hampir dua dekad itu diperkukuh melalui 15 fasal pindaan yang bertujuan memperluas pengiktirafan kemahiran serta meningkatkan kualiti penyedia latihan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Pindaan tersebut memastikan JPK lebih responsif terhadap kemunculan industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan semikonduktor, dengan memberi ruang kepada pengiktirafan program latihan frontier bagi tujuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” katanya hari ini.
Antara perubahan utama melibatkan penambahbaikan sistem tadbir urus Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) yang kini diperluas dengan penyertaan empat entiti baharu, iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Kesuma berkata, langkah ini menjadikan dasar TVET lebih inklusif dan dipandu oleh kepakaran teknikal yang sebenar.
Jelasnya, pindaan juga memperkenalkan laluan fleksibel baharu melalui Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, khususnya untuk pekerja, belia dan golongan dewasa yang mahu meningkatkan kemahiran secara modular dan kos efektif.
Dalam masa sama, proses pentauliahan penyedia latihan diperketatkan dengan tempoh pentauliahan dipanjangkan sehingga enam tahun, selain tatacara penggantungan dan pembatalan diperincikan.
Steven ketika membentangkan bacaan kedua dan ketiga telah menekankan RUU ini mewujudkan kerangka undang-undang baharu yang lebih responsif dan inklusif untuk mengiktiraf tenaga kerja mahir negara.
“RUU ini memperkenalkan tiga sijil pakar baharu iaitu Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran yang buat pertama kalinya menilai serta mengiktiraf pengalaman dan kepakaran pekerja tempatan setaraf piawaian antarabangsa.
“Pindaan ini merupakan revolusi TVET kerana ia mengangkat keringat dan kepakaran tenaga mahir Malaysia ke pentas lebih tinggi.
“Melalui Revolusi TVET ini, Kesuma akan memastikan sektor TVET terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan inklusif, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengangkat TVET sebagai pendidikan arus perdana.
“Ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai hab TVET serantau menjelang 2030, serta kompetitif di peringkat global menjelang 2050,” ujarnya. -MalaysiaGazette















