Bahrin menunjukkan peralatan dan barang rampasan selepas menahan empat lelaki terlibat curi kabel, selepas sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Polis menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan bulan lalu kerana terlibat kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom hingga mengakibatkan syarikat terbabit kerugian RM37,300.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan pertama dilakukan di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu di sini pukul 4.30 pagi, pada 2 November lalu.

“Serbuan ini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, manakala dua rakan sejenayahnya sempat melarikan diri.

“Melalui serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Mazda hitam, gulungan tali kuning, beberapa pemotong kabel berukuran antara 78 hingga 100 sentimeter dan manhole key.

“Ini termasuk peralatan lain seperti tukul, kuku kambing, batang besi berbentuk T dan besi tajam yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk infrastruktur telekom,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku gagal mencuri kabel di kawasan Masai namun merancang untuk mencuri kabel di daerah ini.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dan beralamat di Felda Mawar, Pusat Bandar Jengka, Pahang turut mengaku aktif mencuri kabel di kawasan Temerloh dan Kuantan, Pahang.

Bahrin memberitahu, serbuan kedua pula dilakukan pukul 3 petang, pada 28 November lalu dan berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 33 tahun dalam kebun pisang di Jalan Kluang-Renggam.

Jelasnya, mereka yang beralamat di Taman Sri Kluang, Taman Muhibah dan Batu 1 1/2 Jalan Renggam ditahan kerana disyaki terlibat dalam empat kes kecurian kabel di sekitar daerah ini.

Polis katanya, turut merampas alat pemotong kulit kabel yang diubah suai, longgokan kabel tembaga, longgokan dawai besi, dua guni dawai besi dan enam bilah pisau pelbagai saiz.

“Siasatan mendapati kumpulan ini meraih keuntungan kira-kira RM10,000 hasil kegiatan mereka.

“Suspek mengaku aktif mencuri kabel sejak awal tahun ini dan menjual kabel tersebut di kedai besi buruk sekitar Subang dan Kuala Lumpur bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa di Kluang,” jelas Bahrin.

Kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana merosakkan perkhidmatan komunikasi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast