KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Selangor menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan kepada 269 orang setakat pukul 9 pagi ini.
Menurut maklumat yang dikemas kini menerusi portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka berkenaan melibatkan 90 keluarga di tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.
Kuala Selangor kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 190 orang daripada 69 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS melibatkan dua mukim.
Di Hulu Langat, seramai 76 mangsa daripada 19 keluarga masih berada di satu PPS yang terus beroperasi bagi menempatkan penduduk dari satu mukim terjejas.
Sementara itu, Sabak Bernam merekodkan jumlah mangsa terendah dengan hanya tiga individu daripada dua keluarga yang berlindung di satu PPS.
Penurunan ini menunjukkan keadaan banjir di negeri tersebut semakin pulih berbanding semalam, apabila sebanyak 616 orang daripada 187 keluarga masih berada di sembilan PPS.
Semalam, Kuala Selangor sahaja merekodkan 474 mangsa di lima PPS, manakala jumlah keseluruhan mangsa pada waktu pagi mencecah 896 orang membabitkan 267 keluarga.
Orang awam terus dinasihatkan untuk berwaspada serta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi seperti InfoBencana JKM dan Jabatan Meteorologi Malaysia. – MalaysiaGazette















