Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Seramai 223 mangsa penipuan pelaburan mesin layan diri dan mesin kopi dengan kerugian keseluruhan lebih RM14 juta tertekan dan keliru kerana siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum ini berakhir tanpa sebarang pertuduhan.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes tersebut yang mendapat liputan meluas tetapi tidak diteruskan hingga ke peringkat pendakwaan.

“Ramai mangsa datang kepada kami, bertanyakan bagaimana kes sebesar ini melibatkan dua syarikat dan dua skim pelaburan boleh ‘ditutup tanpa pendakwaan’.

“Mereka mahukan kepastian dan keadilan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, mangsa menyertai dua skim berbeza iaitu satu membabitkan pelaburan mesin layan diri, dan satu lagi pelaburan mesin kopi yang dipromosi secara agresif di media sosial.

“Media sosial menjadi platform utama syarikat memancing mangsa. Nilai kerugian setakat ini mencecah RM14,265,784.84.

“Mangsa telah buat laporan dan siasatan dijalankan. Namun persoalan terbesar ialah mengapa ia tidak dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, kenyataan Ketua Polis Selangor pada Jun lalu memaklumkan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, namun keputusan ketika itu adalah untuk tidak meneruskan pertuduhan di bawah jenayah penipuan.

Rata-rata mangsa yang tidak berpuas hati telah tampil membuat rayuan kepada Pejabat TPR Negeri Selangor

“Surat maklum balas itu menyatakan kertas siasatan perlu dikaji semula dan pegawai penyiasat telah diberikan arahan lanjut. Ini menunjukkan kes ini sebenarnya belum selesai,” katanya.

Hishamuddin berkata, gesaan terbaharu mangsa bertujuan meminta polis memberikan maklum balas jelas terhadap arahan kajian semula tersebut dan seterusnya menilai semula keseluruhan fakta serta keterangan kes.

“Mangsa berharap siasatan dapat dibuka semula dan diteliti secara menyeluruh termasuk aspek niat, representasi palsu dan modus operandi syarikat terbabit, selaras dengan peruntukan jenayah penipuan dalam Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Katanya lagi, mangsa percaya asas bagi pendakwaan masih kukuh dan tindakan perlu diambil agar lebih ramai tidak menjadi mangsa penipuan pelaburan yang sama.

“Jika benar unsur penipuan wujud, tiada siapa harus terlepas. Mangsa berhak mendapat keadilan,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast