KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain bersama rakannya di halaman rumah dalam kejadian di Keningau, Sabah semalam.
Dalam insiden sekitar jam 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun rebah selepas terkena tembakan dari jarak kira-kira tiga meter, dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya.
Difahamkan, penduduk kampung kemudian membawa mangsa ke Hospital Keningau, namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati suspek ternampak mangsa memegang senjata berkenaan sebelum meminta untuk bergurau.
“Ketika mereka bermain sembunyi-sembunyi di bawah kolong rumah, suspek dipercayai secara tidak sengaja menarik picu senjata itu lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa,” katanya kepada media.
Suspek yang panik kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menurut Yampil, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan.
Siasatan lanjut turut menemui senjata tersebut disorok oleh seorang lagi remaja, adik kepada suspek, manakala pemilik bakakuk itu adalah bapa mereka yang berusia 70 tahun.
Ketiga-tiga beranak itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. -MalaysiaGazette
















