KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan ganti rugi lebih RM30 juta yang perlu dibayar kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes saman berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh, didepositkan ke dalam akaun Amanah Raya Berhad.
Hakim Datuk Soo Tiang Joo memutuskan demikian selepas keluarga tersebut dan pihak kerajaan bersetuju agar ganti rugi didepositkan ke dalam akaun Amanah Raya selaku pemegang amanah.
Peguam Datuk Jerald Gomez memberitahu demikian kepada wakil media selepas mahkamah selesai mendengar permohonan isteri Raymond, Susanna Liew agar firma guaman yang mewakilinya dalam saman terhadap kerajaan, dilantik sebagai pemegang amanah.
Menurut beliau, Amanah Raya dilantik sebagai pemegang amanah bagi plaintif pertama (Raymond) untuk memegang wang dan faedah sehingga keberadaan beliau dapat dipastikan atau didedahkan.
Menurut Jerald, Amanah Raya dilantik atas alasan ia mengenakan caj yang rendah selain ada jaminan hitam putih untuk memulangkan semula wang kepada kerajaan jika keputusan Mahkamah Tinggi diubah pada peringkat rayuan.
“Sehingga kini, kerajaan masih belum membayar ganti rugi terbabit walaupun tiada sebarang permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu,” ujarnya yang hadir bersama-sama peguam Michelle Wong.
Susanna dan suami atau nama sebenarnya Koh Keng Joo memohon ganti rugi didepositkan ke dalam akaun amanah yang dipegang oleh Tetuan Jerald Gomez & Associates yang menjana faedah sehingga keberadaan lelaki itu dikenalpasti atau didedahkan oleh kerajaan.
Dalam notis permohonan yang difailkan pada 28 November lalu, mereka turut mengemukakan dua cadangan lain iaitu PB Trustee Services Berhad atau Amanah Raya dilantik sebagai pemegang amanah.
Susanna dalam afidavit sokongan yang diikrarkan memaklumkan, melalui persetujuan anak-anaknya, Jonathan, Esther dan Elizabeth Koh, dia memohon mahkamah melantik firma guaman itu sebagai pemegang amanah untuk memegang akaun bagi menjana faedah yang diperoleh.
“Jika ini tidak diterima, secara alternatif saya memohon mahkamah melantik PB Trustee Services Berhad atau Amanah Raya untuk memegang akaun amanah itu,” ujar beliau dalam afidavit tersebut.
Selain itu katanya, Amanah Raya memerlukan surat ikatan amanah ditandatangani dengan terma tambahan iaitu pemegang amanah berhak melaburkan harta amanah tersebut.
Pada 5 November lalu, Hakim Tiang Joo memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi kepada keluarga Raymond kerana terlibat dalam penculikannya, lapan tahun lalu.
Beliau mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya. Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.
Beliau turut memerintahkan polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymond keluar dari keretanya.
Isterinya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis kerana terlibat atas kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.
Pada 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Raymond dan seorang aktivis, Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman. – MalaysiaGazette
















