Logo AKPS
Gambar hiasan

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi dengan menahan dua lelaki Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek berusia 30-an dan 40-an ditahan berasingan apabila pemeriksaan kenderaan mereka di Blok C kompleks itu menemukan tangki tambahan dipenuhi diesel.

“Pada 4.49 petang, kita menahan seorang lelaki Thailand dan merampas 900 liter diesel dianggarkan bernilai RM2,772 selepas pemeriksaan Toyota Hilux dipandunya menemukan tangki tambahan berisi diesel.

“Turut dirampas ialah kenderaan bernilai RM40,000, menjadikan nilai rampasan keseluruhan RM42,772 bagi kes pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi kedua pada 7.45 malam, seorang lagi lelaki Thailand ditahan ketika cuba menyeludup 800 liter diesel dianggarkan bernilai RM2,464 menggunakan modus operandi sama.

Mohd Nasaruddin berkata, jumlah rampasan diesel bagi kedua-dua kes itu dianggarkan 1,700 liter, bernilai RM5,236, menjadikan jumlah rampasan minyak termasuk kenderaan RM105, 236.

“Kedua-dua kenderaan menggunakan modus operandi dengan mengubah suai tangki tambahan bagi menyeludup diesel subsidi ke Thailand bagi mengelak dikesan,” katanya.

Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast