ISKANDAR PUTERI- Seorang lelaki terselamat daripada rentung selepas berjaya menyelamatkan diri sebelum kereta dipandunya terbakar di kilometer 19.6 Lebuhraya Link Kedua, di sini hari ini.
Mangsa, Chew Kien Hau, berusia 23 tahun yang beralamat di Taman Kuala Krai, Kuala Krai, Kelantan tiada mengalami kecederaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penguasa Bomba Kanan I Hairulnizam Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.04 pagi.
“Sebaik menerima panggilan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan tujuh anggota bomba telah dihantar ke lokasi sejauh lapan kilometer.
“Setibanya anggota bomba ke lokasi pada pukul 9.13 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan kemusnahan dianggarkan 65 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Hairulnizam berkata, kebakaran tersebut turut mengakibatkan seorang penunggang cedera apabila motosikal jenis Yamaha X Max yang ditunggangnya terbabas akibat mengelak kereta terbakar.
Katanya, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan ringan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans bagi menerima rawatan.
Beliau memberitahu, kemalangan turut melibatkan sebuah kereta Nissan Sentra dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tetapi tidak mengakibatkan kecederaan mangsa.
“Kebakaran berjaya dikawal dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 9.57 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan kereta terbabit.
Tambahnya, semua mangsa sudah pun membuat laporan polis.- MalaysiaGazette
















