KLUANG – Tayar belakang kiri pecah sebelum terbabas dan terbalik menjadi punca kemalangan sebuah ambulans yang mengorbankan nyawa pemandu dan tiga pembantu perubatan serta seorang pesakit cedera dalam kemalangan di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut di Kilometer 58.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pukul 1.03 petang.
“Hasil siasatan mendapati ambulans yang dipandu Nurazrein Zainal, 43, dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Sampai di tempat kejadian tayar ambulans bahagian belakang kiri telah pecah dan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut Nurazrein cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di Hospital Enche’ Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Katanya, dua jururawat, Dahlia Atan, 25, cedera parah di bahagian kepala manakala Siti Rokiah Hassan, 35, cedera di bahagian kaki sementara pesakit, V Amutha, 45, cedera di bahagian kepala.
Bahrin memberitahu, ketiga-tiga mereka dibawa dan sedang mendapatkan rawatan di HEBHK.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan mangsa yang beralamat di Bandar Putra akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Kemelah di sini.- MalaysiaGazette
















