KUALA LUMPUR – Dua Timbalan Menteri hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh, serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy sekali lagi diberikan mandat untuk berkhidmat sebagai Senator.

Awang Bemee dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua senator atas pelantikan semula yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan mereka akan meneruskan tanggungjawab dengan penuh integriti dan komitmen.
Pelantikan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 9 Disember 2028, selaras dengan Perkara 45(3) dan 45(3A) Perlembagaan Persekutuan.
Fuziah dan Saraswathy sebelum ini mengangkat sumpah buat pertama kali sebagai Senator pada 10 Disember 2022. – MalaysiaGazette















