JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM11.43 bilion pada tahun ini untuk projek-projek membina dan membaiki infrastruktur awam di negeri ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, RM10.24 bilion diperuntukkan untuk projek pra-pembinaan dan pembinaan yang akan membentuk asas infrastruktur moden dan berdaya saing.
“Sementara RM1.19 bilion khusus untuk penyenggaraan jalan, bangunan dan cerun, memastikan aset awam sentiasa selamat, berkesan dan mampan.
“Menerusi peruntukan ini, kita bukan sahaja membina dan menyenggara tetapi paling penting, kita mencorak masa depan Johor yang kukuh demi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan negara dan negeri yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Profesion Teknologi Negara 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Nanta berkata, pertemuannya dengan Menteri Besar Johor pada 26 November lalu juga telah membuka ruang untuk kerjasama yang lebih strategik terutamanya dalam pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Kolaborasi ini akan memastikan setiap projek dilaksanakan secara tersusun, berfasa, dan berkesan, sekaligus memberikan impak,” ujarnya.
Sementara itu, Nanta berkata, profesion teknikal merupakan tonggak utama dalam memacu inovasi serta pembangunan negara sekali gus menentukan keupayaan Malaysia bersaing di peringkat global.
Beliau menegaskan, kepakaran jurutera, arkitek, teknologi, profesional keselamatan dan pelbagai disiplin teknikal adalah nadi yang membina asas kemajuan negara merangkumi infrastruktur fizikal, teknologi moden dan daya saing ekonomi.
Katanya lagi, dalam era perkembangan pesat teknologi digital, terutamanya di bawah gelombang Emerging Technologies, profesion teknikal perlu diberi perhatian sebagai agenda strategik nasional.
“Mereka adalah penggerak utama yang memastikan Malaysia terus relevan dalam dunia digital, automasi, robotik serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Nanta menambah, profesion teknikal kini bukan lagi sekadar bidang kerjaya, malah memikul tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan negara.
Beliau menyeru generasi muda untuk melihat bidang ini sebagai platform melahirkan inovasi yang boleh menjadi pemangkin penyelesaian masalah rakyat dan cabaran global.
Mengulas mengenai Revolusi Perindustrian Ke-4, beliau menekankan keperluan negara mengadaptasi teknologi baharu seperti IoT, AI, realiti maya (VR) dan Data Raya bagi meningkatkan kecekapan pembelajaran serta pengurusan.
“Pendekatan tradisional tidak lagi mencukupi. Kita mesti berani berubah dan menerima teknologi sebagai alat peningkatan keupayaan negara,” jelasnya.
Beliau juga menekankan peranan inovasi seperti robotik, Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang terus mentransformasi sektor pembinaan dengan tahap keselamatan, ketepatan dan produktiviti lebih tinggi.
Transformasi itu katanya, membuka laluan kepada pembangunan yang lebih pintar, mampan dan kompetitif.
Sehubungan itu, Nanta menegaskan, pembangunan tenaga kerja mahir perlu dirancang secara holistik bagi memastikan modal insan teknikal kekal relevan, berkualiti dan selari dengan aspirasi Kerajaan Madani serta tuntutan global.
Namun, beliau mengingatkan bahawa teknologi hanya memberi makna kepada pembangunan negara jika ia berteraskan nilai hikmah dan kasih kepada rakyat.- MalaysiaGazette
















