Anggota JPJ melakukan pemeriksaan dalam Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan 2025 di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 5,741 notis JPJ(P)22 dalam Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan 2025 di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Notis berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya di sepanjang dikesan operasi tersebut yang diadakan selama sembilan hari.

Pengarah JPJ Negeri Johor, Zulkarnain Yasin berkata, notis yang dikeluarkan itu hasil daripada pemeriksaan yang dibuat ke atas 26,358 pelbagai kenderaan tempatan bermula 2 Disember lalu hingga hari ini.

“Berdasarkan pecahan, notis tertinggi dikeluarkan oleh JPJ Negeri Sembilan iaitu sebanyak 2,382 notis; diikuti JPJ Negeri Melaka sebanyak 1,628 dan 1,731 notis dikeluarkan JPJ Negeri Johor.

“Berdasarkan analisis yang dijalankan, kesalahan paling tinggi dikesan adalah kegagalan memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) iaitu sebanyak 1,601; diikuti kegagalan memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 1,371 notis dan tiada perlindungan insurans sebanyak 1,175 notis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Rentas Sempadan Zon Selatan 2025 di Plaza Tol Skudai (arah selatan) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dan Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop.

Katanya, selain itu, sebanyak 77 kenderaan disita termasuk 40 motosikal dan 16 kereta yang melakukan pelbagai kesalahan menyebabkannya tidak selamat atau tidak layak berada di atas jalan raya,.

Zulkarnain berkata, sepanjang tempoh operasi yang membabitkan 146 pegawai dan anggota JPJ itu, mereka menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus Kebarangkalian Ditangkap Melakukan Kesalahan (POBC).

Bagaimanapun, katanya, hasil analisa statistik mendapati kesedaran orang ramai sudah meningkat dan mereka berjaya mencapai 88 peratus POBC melepasi sasaran.

Pada masa sama, beliau berkata, objektif operasi itu diadakan adalah bagi memastikan tahap pematuhan peraturan berada pada tahap optimum selain mempamerkan keberadaan JPJ di semua lokasi supaya wujud kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Melalui operasi ini ujarnya, JPJ berperanan meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta memperkukuhkan integriti penguat kuasa JPJ.

“Selain itu, JPJ berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melalui program penguatkuasaan terancang,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast