JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri disaran menubuhkan Dana Penyelenggaraan Berterusan bagi membantu dan menjaga kebajikan golongan miskin bandar yang menghuni flat kos rendah di seluruh Johor.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Ahmade Mohd Din berkata, ia bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan dapat dijalankan secara konsisten bukan sekali-sekala.
Dana berkenaan perlu disalur setiap tahun dengan pengawasan ketat agar ketirisan dapat dielakkan.
“Audit keselamatan dan infrastruktur perlu dijalankan secara berkala, terutama bagi flat berusia lebih 30 tahun dengan penglibatan jurutera bertauliah bagi menilai keadaan struktur bangunan, lif, sistem kumbahan dan infrastrukturnya.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat amat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah ujar Ahmade, sebuah jawatankuasa bersama-sama wajar dibentuk bagi memastikan semua isu dapat ditangani secara sistematik termasuk melalui sistem aduan digital yang telus dan mudah diakses penduduk.
Program naik taraf secara berfasa perlu dilaksana mengikut keutamaan lokasi paling kritikal, katanya.
“Pendekatan projek perintis di beberapa flat terpilih boleh dijadikan model sebelum diperluaskan ke seluruh negeri. Kedai runcit dan kedai barangan asas harian perlu dipecepatkan untuk kemudahan rakyat,” katanya.
Selain itu, kata Ahmade, pendidikan dan kesedaran komuniti berkaitan kebersihan, penggunaan sistem kumbahan dan pengurusan sampah perlu diperkasa melalui program libat urus bersama sekolah, surau serta persatuan penduduk.
Insentif kepada komuniti yang berjaya mengekalkan kebersihan serta sokongan sosial seperti klinik bergerak dan pusat komuniti perlu disediakan bagi meringankan tekanan hidup golongan miskin bandar, tambahnya.
Jelasnya, aspek ketelusan dan akauntabiliti mesti dipertingkat dengan memaparkan semua perbelanjaan penyelenggaraan secara terbuka di papan kenyataan flat serta portal rasmi negeri.
Menurut beliau, tindakan menambah baik secara berterusan, menyeluruh dan telus perlu kerana golongan miskin bandar yang menghuni flat kos rendah di seluruh Johor semakin membesar dan terkesan dengan beban kos sara hidup serta keadaan persekitaran yang tidak terurus.
Pejuang Johor menegaskan, hak rakyat miskin bandar mesti diberi perhatian setara dengan agenda pembangunan mega negeri.
“Bantuan sementara semata-mata tidak mencukupi, penyelesaian jangka panjang dan pembaharuan sistemik adalah keperluan mendesak,” katanya.
Katanya lagi, kesejahteraan rakyat marhaen merupakan asas kepada kemajuan Johor yang inklusif dan berdaya tahan. – MalaysiaGazette
















