JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Ismail mendedahkan wujud individu tertentu dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membawa isu dokumentasi tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemangku Sultan Johor itu mendakwa demikian dalam sesi wawancara bersama-sama penyokong JDT yang disiarkan dalam Facebook Johor Southern Tigers, petang tadi.
Dakwa baginda lagi yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), saranan itu disampaikan individu terbabit kepada Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
“Awak boleh tanya Tan Sri Hamidin sendiri, ada pihak daripada FIFA cakap kepada dia jangan bawa benda ini pergi ke CAS. Sangat aneh, saya pun tak tahu kenapa mereka cakap jangan pergi ke CAS.
“Dia bukan tak bagi kita pergi, dia kata kalau boleh jangan pergi. Tetapi dia ada juga ugut, akan gantung, jika nak pergi ke CAS, akan buat benda yang lebih teruk. Kita akan pergi, kalah menang kita tak tahu,” menurut Tunku Mahkota Ismail.
Bulan lalu, FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat susulan daripada keputusan jawatankuasa berkenaan pada 3 November lalu yang menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit.
Keputusan itu menyaksikan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu kekal, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kelmarin, mengesahkan bahawa badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan.
Mohd Yusoff memaklumkan CAS menetapkan pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember ini untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.- MalaysiaGazette
















