PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman, di sini, sebentar tadi bagi pendengaran rayuan pendakwaan yang mahu mengetepikan pembebasannya daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada.
Syed Saddiq tiba di Mahkamah Persekutuan pukul 8.35 pagi diiringi ahli keluarga terdekat dan para penyokongnya.
Rayuan itu dijadual didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Pihak pendakwaan memfailkan petisyen pada 22 September lalu dengan menggariskan 28 alasan mengapa Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.
Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette















