Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media diiringi bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 DISEMBER 2025 (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menghormati institusi kehakiman dan meyakininya sebagai penentu terbaik nasibnya, bukan melalui jalan mudah atau jalan politik.

Beliau berkata, proses pengadilan terhadapnya berdasarkan fakta dan penghujahan yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak peguam dan pembelaan.

Selain itu, Syed Saddiq turut menghormati keputusan pihak pendakwaan yang memilih untuk merayu meskipun Mahkamah Rayuan telah memberikan keputusan berbeza dengan membebaskan beliau.

“Hari ini, proses rayuan akan bermula dan berlangsung selama dua hari. Saya bersyukur kerana proses ini tidak ditangguhkan dan dapat diteruskan tanpa kelewatan. Saya sangat menghormati institusi kehakiman.

“Saya tidak meminta banyak. Saya telah nasihatkan keluarga dan rakan-rakan agar tidak membuat protes, tidak menghina atau mencaci hakim, tidak kira siapa pun.

“Yang penting ialah berdoa kerana Insya-Allah, Allah SWT akan bersama mereka yang berada di pihak yang benar,” ujarnya sejurus sebelum rayuan bermula.

Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman di sini bagi pendengaran rayuan pendakwaan yang mahu mengetepikan pembebasannya daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada.

Rayuan itu dijadual didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast