Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia komited dalam mengesan anak Indira Ghandi mengikut lunas undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM turut mengalu-alukan sebarang maklumat awam bagi membantu proses mengesan anak bongsu wanita tersebut.

Katanya, semua maklumat yang diterima akan diteliti secara profesional dan diambil tindakan mengikut prosedur siasatan yang berkuatkuasa.

“PDRM menegaskan bahawa akan kekal komited, sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah termasuk dalam melaksanakan usaha berterusan bagi mengesan anak Puan Indira Ghandi mengikut lunas undang-undang.

“PDRM akan terus memberikan kerjasama penuh demi memastikan setiap tindakan berkaitan dilaksanakan dengan berintegriti, profesional dan selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khalid, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Indira dan rombongannya yang disertai Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT), Arun Dorasamy dan dua anak wanita tersebut di Pejabat Ibu Pejabat Ketua Polis Negara, petang semalam.

Katanya, dalam perjumpaan tersebut, Kulasegaran memohon agar PDRM memberikan sokongan berterusan kepada Indira dalam usaha mengesan anak beliau.

Indira dan Arun juga turut menyatakan harapan agar usaha berkenaan dapat dipergiatkan.

Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan KPN menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast