Mohd Ridhwan Othman

JOHOR BAHRU – Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Mendidik) membantah sekiranya kerajaan mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Mendidik, Mohd Ridhwan Othman berkata, ini kerana UEC mempunyai banyak percanggahan dengan sistem pendidikan negara yang berteraskan perpaduan nasional.

Justeru beliau yang juga Presiden Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau Malaysia) menegaskan, kerajaan tidak harus mengiktiraf sistem pendidikan tersebut seperti yang dicadangkan DAP.

“Kerajaan seharusnya lebih proaktif memperkukuh serta memperbaiki sistem pendidikan sekolah kebangsaan agar selari dengan keperluan semasa.

“Kita semua sedia maklum Kementerian Pendidikan giat memastikan sekolah-sekolah kebangsaan dinaik taraf sebagai Sekolah Wawasan, iaitu sebuah konsep pendidikan yang merangkumi semua mata pelajaran dalam suasana perpaduan, setia kawan dan kebersamaan semua kaum serta agama.

“Inilah jalan terbaik untuk mengukuhkan negara, bukan dengan mengiktiraf UEC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta DAP menghormati Perlembagaan yang telah termaktub di negara ini termasuk Rukun Negara yang perlu diamati secara wajib bagi setiap rakyat yang bernaung di Malaysia termasuk sejarah Perlembagaan negara, bukannya sejarah dari negara luar di bawa ke dalam sistem pendidikan negara.

Ujarnya, Medidik Malaysia tidak akan bersetuju dengan cadangan pengiktirafan UEC yang dibawa oleh DAP.

Baru-baru ini seorang pemimpin DAP mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf UEC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast