PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan menghujahkan, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan wang RM120,000 yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, adalah kepunyaan beliau yang telah digunakan untuk kempen pilihan raya.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah di Mahkamah Persekutuan, penemuan tersebut telah mengubah tafsiran undang-undang yang menyentuh mengenai wang yang diamanahkan.
Hujah beliau, tafsiran itu jika tidak diperbetulkan, akan mempunyai implikasi serius terhadap kepercayaan awam dan tadbir urus kewangan kempen politik.
Ahmad Akram berhujah, jika tafsiran Mahkamah Rayuan itu dikekalkan, mana-mana tokoh politik boleh memindahkan derma kempen ke dalam akaun peribadi dan kemudian menuntutnya sebagai wang peribadi mereka.
“Ini akan menjadikan kesalahan penyelewengan dana sesuatu yang sia-sia yang mana ia akan menghalalkan pengkayaan peribadi melalui dana yang diamanahkan.
“Integriti pembiayaan kempen dan keyakinan orang ramai terhadap proses pilihan raya akan terjejas teruk. Seorang fidusiari tidak boleh secara unilateral menukar wang amanah kepada pemilikan peribadi,” hujah beliau.
Mahkamah tertinggi negara sedang mendengar rayuan akhir pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Ahmad Akram selanjutnya menghujahkan, Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Syed Saddiq.
Hujah beliau, tindakan Syed Saddiq meraih dana awam atas naratif ‘pengorbanan’, sebaliknya menggunakan kutipan tersebut untuk dirinya sendiri.
“Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika menggambarkan dana itu sebagai `tukaran’ dan bukannya `penyalahgunaan’,” hujah beliau.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan ketika berhujah mengenai pertuduhan pengubahan wang haram berkata, pemindahan RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik responden menjadi asas kepada kesalahan AMLATFPUAA, dan Mahkamah Tinggi telah mensabitkannya dengan betul atas pertuduhan itu.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan merayu agar panel bersidang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum Syed Saddiq.
Ketika membela diri di Mahkamah Tinggi, Syed Saddiq menegaskan bahawa dana itu adalah pembayaran balik kepadanya selepas membelanjakan wangnya sendiri untuk kempen pilihan raya 2018.
Semasa perbicaraan, Ahli Parlimen Muar itu telah mengemukakan resit yang dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendokumentasikan perbelanjaan tersebut.
Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette
















