JOHOR BAHRU – Perkhidmatan komuter khusus bagi laluan Kulai–Johor Bahru dirancang untuk diperkenalkan mulai suku pertama tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penyediaan perkhidmatan itu adalah sebagai langkah meningkatkan lagi rangkaian pengangkutan awam dan kemudahan mobiliti rakyat Johor.
“Perkhidmatan itu akan dilaksana menggunakan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini beroperasi sebagai tren shuttle Gemas–Johor Bahru.
“Selain perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), kita juga mahu memperkenalkan tren komuter khusus untuk laluan Kulai ke Johor Bahru. Ini sedang dirangka dan sementara menunggu set tren baharu, kita akan optimumkan gerabak-gerabak sedia ada.
“Koc-koc yang digunakan antara Gemas dan Johor Bahru akan disusun semula untuk laluan Kulai–Johor Bahru,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik GemasJohor Bahru di Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Kempas, di sini, hari ini.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenaan menyempurnakan majlis tersebut dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman.
Siew Fook berkata, penggunaan perkhidmatan komuter bagi laluan Kulai–Johor Bahru membolehkan kekerapan tren ditingkatkan dengan ketara, memandangkan perjalanan hanya mengambil kira-kira 20 minit.
Jelasnya, dengan jadual baharu yang akan diperkenalkan kelak, sebanyak 16 perkhidmatan menuju Johor Bahru dan 16 perkhidmatan lagi ke Kulai akan disediakan setiap hari, menjadikan kekerapan operasi hampir setiap setengah jam.
Justeru beliau berkata, langkah itu dijangka menggalakkan penduduk sekitar Kulai dan kawasan sepanjang laluan tersebut menggunakan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan serta kebergantungan kepada motosikal dan kenderaan persendirian.
Mengenai projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor, beliau berkata, kelulusan bagi projek berkenaan sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, Anwar Ibrahim dan Onn Hafiz juga telah mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut.
“Masih ada perincian yang belum dapat dimuktamadkan, kita akan muktamad dalam kadar segera dan terdekat. Saya yakin akan ada keputusan tidak lama lagi,” katanya.
Kerajaan Johor sebelum ini memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.
Tunku Mahkota Ismail juga bertitah dan menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi serta projek ART yang belum dilaksanakan.- MalaysiaGazette
















