KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman terhadap rakyat Palestin menerusi tindakan undang-undang antarabangsa dan tekanan diplomatik.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia telah menunjukkan usaha dengan penyertaan aktif dalam prosiding-prosiding Pendapat Nasihat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2004, 2024, dan terbaharu 2025.
Beliau berkata, penyertaan terkini Malaysia dalam prosiding pendapat nasihat ICJ berhubung kewajipan Israel berkaitan kehadiran dan aktiviti di Wilayah Palestin yang diduduki.
“Keputusan ICJ pada 22 Oktober 2025 yang berpihak kepada Palestin telah mengesahkan hujah-hujah perundangan yang dikemukakan oleh Malaysia sebelum ini.
“Keputusan ICJ yang berulang kali ini juga membuktikan dan mengesahkan kependudukan haram Israel selain tindakan mencabul undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia Palestin,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Hussin Ismail berkenaan apakah langkah dan usaha kerajaan di peringkat antarabangsa bagi memastikan Israel dikenakan tindakan di bawah undang-undang antarabangsa atas pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata dan jenayah terhadap Palestin.
Mohamad berkata, Malaysia menerusi Kumpulan The Hague akan terus menerajui pelaksanaan keputusan-keputusan ICJ dengan tindakan konkrit termasuk mengenakan sekatan perdagangan dengan Israel dan melarang kapal Israel dari berlabuh di negara ini.
“Kemenangan perundangan ini akan diikuti dengan usaha diplomatik di mana Malaysia giat bekerjasama dengan negara-negara sependirian untuk mengusul satu resolusi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Disember 2025 ini.
“Selain itu, Malaysia turut memberi sokongan kuat kepada kes Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ berhubung pencabulan Konvensyen Genosid 1948, serta tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.
Jelasnya, kes-kes di ICC dan ICJ ini adalah penting untuk membanteras ‘budaya impuniti’ yang selama ini melindungi rejim Zionis Israel daripada tindakan sewajarnya. -MalaysiaGazette
















