JOHOR BAHRU – Dua wanita warga Filipina didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan Malaysia yang palsu, awal minggu ini.
Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia syarikat pembersihan di sebuah pusat beli-belah dan telah berada di negara ini sejak lima tahun lalu, didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu berbeza sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.
Sementara itu, Janida yang menetap di negara ini sejak 2007 dan bekerja sebagai pekerja pembersihan, menghadapi pertuduhan memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, pukul 7 malam pada 8 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Noor Aliah Yaacob, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norasyikin Md Jabarulla.
Norasyikin dalam hujahnya memohon denda dikurangkan terhadap kedua-dua anak guamnya kerana mengaku bersalah pada awal pertuduhan dan menjimatkan masa mahkamah.
“Saya memohon hukuman denda yang rendah kerana tertuduh (Noraina) adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, serta mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan.
“Tertuduh (Janida) adalah seorang ibu tunggal mempunyai lapan anak, yang mana empat daripadanya masih bersekolah. Tertuduh juga berpendapatan RM50 sehari selain menghidap penyakit kolestrol, darah tinggi dan wanting,”hujahnya.
Bagaimanapun Noor Aliah memohon mahkamah memberikan hukuman yang berat kerana membabitkan kedaulatan negara dan turut melibatkan isu keselamatan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan setiap tertuduh membayar denda RM5,000 dan sekiranya gagal, mereka akan dipenjara selama enam bulan. – MalaysiaGazette















