Ahmad menyampaikan surat setuju terima projek sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pengurusan projek yang lemah dan perancangan kewangan yang tidak teratur merupakan dua faktor utama kelewatan bawah Kementerian Kerja Raya.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, keadaan tersebut menyumbang 75 peratus projek menjadi lewat yang dikenal pasti berpunca daripada kontraktor yang bermasalah.

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, perkembangan itu sekali gus menyumbang kepada majoriti projek sakit di bawah kementerian berkenaan.

“Sebanyak 75 peratus sebab kelewatan projek (di bawah kementerian ini) adalah sebab kontraktor, yang selebihnya itu pengambilan balik tanah dan utiliti.

“Kita tidak banyak sangat projek sakit ada sekitar lima peratus daripada banyak projek yang kita buat. Tetapi lima peratus itu kita tidak mahu kalau boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan surat setuju terima bagi dua projek Persekutuan di Johor sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Menurut Ahmad, ramai kontraktor salah mengurus kewangan mereka termasuk beranggapan bayaran pendahuluan pertama adalah keuntungan.

Beliau menyarankan agar kontraktor menilai keuntungan mereka selepas selesai projek yang dijalankan.

“Sebagai contoh, kesilapan pengurusan kewangan. Jangan kontraktor mengambil keuntungan apabila dapat bayaran pertama yang dianggap keuntungan itu tidak betul. Kaedahnya selepas siap projek baru dapat untung. Bukan bayaran pertama itu dikira untung,” ujarnya.

Beliau berharap dua perkara berkenaan dapat diatasi kontraktor yang mendapat projek daripada kementeriannya.

“Daripada segi pengurusan projek antara komponen bahan binaan, hendaklah pada harga berpatutan dan mencukupi sama ada bahan atau sumber manusia iaitu pekerja. Tempoh masa juga perlu diteliti dan dihabiskan kerja mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Mengenai aspek penguatkuasaan, Ahmad berkata, amaran berulang akan diberikan sebelum tindakan penamatan dipertimbangkan.

“Kita hantar surat amaran sekali atau dua kali malah sehingga tiga kali. Pegawai kita juga menasihati kontraktor dalam mesyuarat tapak mingguan dan bulanan.

“Bagaimanapun, jika kontraktor masih gagal mematuhi jadual menyiapkan projek, kementerian akan menamatkan kontrak,” katanya.

Apabila ditamatkan, kata Ahmad, mereka akan di­senaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan selama dua tahun.

Jelasnya, mereka juga boleh dikenakan ganti rugi lewat siap termasuk perbezaan kos jika tender baharu diperlukan.

“Ia membawa banyak komplikasi kepada mereka. Sebab itu kementerian sentiasa mengingatkan supaya projek disiapkan mengikut jadual atau lebih baik lagi disiapkan lebih awal,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast