Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Prosiding jenayah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta kini berakhir sepenuhnya selepas pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan rayuan terhadap pembebasan beliau.

Keputusan itu dimaklumkan melalui notis rasmi yang difailkan di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember lepas sekali gus menutup kes yang bermula hampir tujuh tahun terhadap Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengesahkan tindakan pendakwaan menarik balik rayuan tersebut membawa maksud keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu kekal dan tidak lagi dicabar.

Menurutnya, pihak pembelaan menyambut baik keputusan itu kerana ia mengakhiri pertikaian undang-undang yang telah berlanjutan bertahun-tahun.

Dalam keputusan pada 2024, Mahkamah Tinggi membebaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan selepas mendapati unsur kesalahan tidak dapat dibuktikan di luar keraguan munasabah.

Hakim ketika itu, K Muniandy menegaskan, pihak pendakwaan tidak berjaya mengaitkan transaksi dana yang dipersoalkan dengan elemen pelupusan hasil aktiviti haram, satu keperluan penting dalam kesalahan pengubahan wang haram.

Penarikan rayuan oleh pendakwaan bermakna keputusan itu kini berkedudukan muktamad tanpa sebarang cabaran lanjut.

Pertuduhan terhadap Rosmah difailkan pada 2018 membabitkan siri transaksi kewangan antara 2013 hingga 2017 yang didakwa diterima dan digunakan bagi tujuan perbelanjaan peribadi.

Perbicaraan kes itu melalui beberapa penangguhan kerana prosiding mahkamah lain yang beliau hadapi secara serentak.

Walaupun pembebasan itu menamatkan satu episod besar dalam deretan kes berkaitan dirinya, Rosmah masih menunggu proses rayuan penuh terhadap sabitan dan hukuman dalam kes rasuah projek solar hibrid sekolah luar bandar Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast