Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse.

JOHOR BAHRU – Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka tindakan Pendakwa Raya menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse kecewa dengan keputusan itu dan pada masa sama faham tindakan tersebut adalah dalam ruang kuasa yang diberikan oleh undang-undang di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun kes ini melibatkan kepentingan awam yang sangat besar maka adalah lebih wajar jika Mahkamah Rayuan diberi ruang untuk membuat keputusan akhir tanpa dihentikan begitu sahaja melalui penarikan balik rayuan.

“Sehubungan itu, Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka berhubung alasan dan pertimbangan yang mendorong keputusan menarik balik rayuan ini.

“Ketelusan amat penting dalam kes ini bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara tidak terhakis, lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan tokoh berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, prosiding jenayah melibatkan Rosmah berhubung dakwaan pengubahan wang haram RM7 juta kini berakhir sepenuhnya selepas pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan rayuan terhadap pembebasan beliau.

Keputusan itu dimaklumkan melalui notis rasmi yang difailkan di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember lepas sekali gus menutup kes yang bermula hampir tujuh tahun terhadap Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengesahkan tindakan pendakwaan menarik balik rayuan tersebut membawa maksud keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu kekal dan tidak lagi dicabar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast