Gambar hiasan

BATU PAHAT – Seorang warga emas tidak dapat menikmati waktu persaraan dengan tenang apabila wang simpanan RM230,000 lesap diperdaya ‘pegawai polis’.

Ketua Polis Daerah Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 67 tahun yang menerima panggilan telefon pada 21 November lalu.

“Mangsa menyatakan telah menerima panggilan telefon daripada suspek seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pengawai polis dan mendakwa mangsa tersenarai antara suspek yang akan ditangkap bagi kes penipuan scammer.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank milik mangsa dan membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan pihak Jabatan Audit Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang ke dalam satu akaun bank secara berperingkat-peringkat berjumlah keseluruhan RM230,000 pada 3 Disember lalu.

Katanya, kemudian mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi namun lelaki berkenaan tidak membuat apa-apa pembayaran dan sedar telah ditipu.

Mangsa katanya, membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendakwa telah menjadi mangsa penipuan phone scam.

Menurut Shahrulanuar, polis menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan terlebih dahulu jika diarahkan untuk melakukan apa jua urusan yang meragukan,” katanya.

Orang ramai juga tambahnya, boleh melayari Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersil.

Selain itu orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast