KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang warga Bangladesh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempromosikan aktiviti kumpulan pengganas Islamic State (IS) di negara ini.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan selepas tertuduh, Mohammad Didarul Alam, 29, membuat pengakuan salah atas semua pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh yang hadir kelihatan sugul, cengkung tidak diwakili peguam dan hanya dibantu jurubahasa sepanjang prosiding.
Menurut kertas pertuduhan, Didarul ditangkap pada 21 Julai selepas disyaki terlibat dalam aktiviti keselamatan di bawah SOSMA. Pemeriksaan polis merampas pasport serta dua telefon bimbit milik tertuduh.
Siasatan mendapati tertuduh mengendalikan akaun Facebook berprofil ‘Al Mubin Islam’ yang digunakan sejak 2019 untuk memuat naik, berkongsi dan menyebarkan kandungan berkaitan perjuangan kumpulan pengganas IS, termasuk gambar, video, artikel serta seruan jihad sejak Januari 2023.
Tertuduh turut mengakui menjadi ahli beberapa kumpulan Telegram antaranya Malhamah, Baghdad Eagle, Doktrin Bengal, Video, Nashid, PDF dan Syarahan Audio yang digunakan untuk berkongsi bahan propaganda dan ideologi IS.
Bagaimanapun, kumpulan itu dipadamkannya selepas seorang rakan seperjuangan ditahan polis.
Manakala laporan makmal forensik PDRM kemudian mengesahkan identiti akaun Facebook tersebut sebagai milik tertuduh.
Walaupun tiada bahan keganasan ditemui dalam telefon bimbitnya, kandungan media sosial menunjukkan penglibatan aktif tertuduh dalam mempromosikan kumpulan IS yang diwartakan sebagai organisasi pengganas pada 2014.
Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mahamed memohon supaya hukuman tegas dan setimpal dikenakan terhadap terutamanya apabila membabitkan isu keselamatan dan keganasan di negara ini.
Namun, Didarul merayu supaya dirinya hanya dikenakan denda kerana mendakwa datang ke Malaysia untuk bekerja demi menyara kedua ibu bapanya yang uzur di Bangladesh.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan semua pihak, Azhar memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap selain membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak semua barang rampasan, termasuk dua telefon bimbit dan pasport tertuduh.
Difahamkan juga, selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh diperintahkan mahkamah untuk dihantar pulang ke negara asal. -MalaysiaGazette















