Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia mestilah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau bersetuju dengan penegasan perdana menteri bahawa semua aliran pendidikan sama ada Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa wajib mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara.

“Pendirian Kerajaan Madani kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi, dan prinsip ini terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming yang dilapor berkata parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, di peringkat KPT, katanya, kementerian itu akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

Menurutnya, penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu, di samping pemerkasaan untuk bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku, dengan matlamat melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast