JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan tiga tekong dan enam warganegara Indonesia ketika cuba keluar dari negara ini di perairan Sungai Rengit, Baru Pahat kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua warga asing itu yang berusia 22 hingga 52 tahun ditahan dalam beberapa buah bot dalam Op Taring Gelora dari pukul 6.53 petang hingga 8.30 malam.
“Mereka ditahan semasa pasukan Bot Ronda PA 51, Bot Ronda RH 24 dan Bot Ronda PSC 59 melakukan rondaan dan mengesan bot-bot berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.
“PPM Wilayah Dua kemudian menghampiri bot tersebut dan berjaya menahannya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sembilan lelaki Indonesia tersebut ingin keluar dari perairan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Jelasnya, soal siasat mendapati tiga adalah tekong yang bertindak membawa penumpang keluar dan masuk ke Batam, Indonesia.
Sementara tiga lagi katanya, mengaku sebagai penumpang yang ingin pulang ke Batam melalui jalan laut.
Ab Rahaman memberitahu, semua tangkapan dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Pengerang untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Pihaknya turut merampas dua buah bot pancung kayu, sebuah bot fiber, dua unit enjin sangkut Yamaha 100 kuasa kuda, satu enjin sangkut Suzuki 100 kuasa kuda serta sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenis.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM435,785, ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis Kontinjen Johor komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan migran dan kemasukan serta keluar pendatang tanpa izin secara haram demi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Polis Kontinjen Johor di talian 07-221 2999,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















